TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Thursday, January 26, 2012

PASUKAN HOKI SMI LEBIH BERSEDIA (MICHAELIAN TRAINING AND CONDITIONING IN STYLE)

Nama-nama besar sukan hoki antarabangsa seperti Foo Keat Siong dan Mohammad Abdul Hadi, kedua-duanya bekas ketua pasukan negara ke temasya Olimpik dan Piala Dunia ialah antara legenda SMI. Anderson yang begitu gagah ketika ini dahulunya sangat gentar apabila berhadapan dengan SMI. Pendek kata, hoki menjadi penguasaan sekolah-sekolah mission seperti SMI. 

Setelah tenggelam agak lama, skuad hoki SMI kembali menghadirkan saingan. Dalam kejohanan sukan premier zon Perak empat tahun yang lalu, SMI muncul sebagai pemenang pingat gangsa. SMI hanya berasa sedikit segan dengan kelibat Anderson dan Clifford.
Sesi latihan simulasi di Taman D.R. 
Gambar penuh tidak disiarkan atas alasan taktikal.

Pada tahun 2012 ini, skuad hoki SMI menerima sentuhan jurulatih baharu, iaitu Yang Mulia Raja Munawar Shah bin Raja Badrul Shah, bekas pemain hoki negeri Perak. Ketika ditemui pada satu sesi latihan, beliau menyifatkan budak hoki SMI memang ada bakat dan potensi yang boleh bersaing, tetapi masih perlu dimantapkan dari segi organisasi permainan. Beliau berpendapat bahawa kemahiran taktikal individu perlu diadunkan dengan persefahaman dalam pasukan.

Pasukan SMI bakal mengambil bahagian dalam kejohanan hoki peringkat Zon 2 Kinta Utara yang dijangka bermula pada minggu hadapan. Zon berkenaan memang kuat kerana menemukan pasukan handalan seperti Anderson, Star, Sekolah Sultan Yusuf, ACS dan Sungai Pari. Berdasarkan saingan kejohanan yang lalu, faktor kecergasan dan stamina pada tempoh sepuluh minit terakhir akan menjadi kunci kepada keputusan perlawanan...

Thursday, January 19, 2012

PENGAWAS DAN KETUA KELAS MESTI PROAKTIF (INSTALLATION OF MICHAELIAN LEADERS 2012)

Ipoh, Isnin: 16.1.2012 / 22 Safar 1433

Majlis yang ringkas tetapi penuh makna. Demikian gambaran tentang majlis penyampaian surat pelantikan kepada pemimpin pelajar SMK St. Michael, Ipoh (SMI), iaitu pengawas sekolah, pengawas pusat sumber dan ketua kelas. Ucapan perasmian dan penyampaian surat lantikan dilakukan oleh Cif Inspektor Ramesh Nagaya, ketua balai Ipoh Sentral.
setiausaha badan pengawas SMI menerima surat pelantikan


Antara inti pati ucapan perasmian ialah tanggungjawab pemimpin pelajar yang diberi amanah dan kepercayaan dalam usaha memastikan sekolah ialah persekitaran pembelajaran yang selamat dan selesa. Cif Inspektor Ramesh yang juga pegawai perhubungan polis bagi SMI turut mengingatkan supaya semua Michaelian supaya menjauhi perbuatan dan tingkah laku yang bertentangan dengan peruntukan undang-undang, sama ada di dalam kawasan sekolah atau di luarnya. Pihak polis sentiasa memberi komitmen penuh dan kerjasama kepada SMI untuk membendung sebarang perkara negatif yang menjejaskan pembelajaran. 
ucapan Cif Inspektor Ramesh Nagaya


Sebelum itu, Puan Loh Wei Seng, pengetua SMI mahu pemimpin pelajar di SMI menggunakan pendekatan proaktif, iaitu membimbing rakan supaya sentiasa mendukung ciri-ciri Michaelian yang cemerlang. Langkah pencegahan salah laku juga dibuat secara paling berhemah. Jika polis dengan slogan "rakan cop", pemimpin pelajar SMI boleh mempromosi konsep rakan pengawas.
ikrar pemimpin pelajar


Lafaz ikrar pemimpin pelajar disaksikan oleh semua guru dan murid SMI di tapak perhimpunan mingguan. Hadir sama ialah Yang Di-Pertua PIBG, Bro. Vincent dan wakil OMA. Sumbangan pemimpin pelajar terhadap pencapaian kecemerlangan SMI sangat didambakan...

Tuesday, January 17, 2012

PELAJAR PRAUNIVERSITI TERIMA "ANGPAU" (BOOK VOUCHER FOR SIXTH FORM)

Ipoh, Selasa: 17.1.2012 / 23 Safar 1433

Menjelang perayaan tahun baharu Cina, pelajar tingkatan 6 seluruh negara menerima khabar gembira. Baucar RM200 yang ditunggu-tunggu akhirnya sampai ke tangan mereka. Kalau tahun 2011 mereka menyerahkan wang yuran kepada guru tingkatan, kali ini ini giliran guru tingkatan pula menyerahkan baucar buku 1Malaysia.
Sejumlah 190 orang pelajar tingkatan 6 Atas SMK St. Michael, Ipoh (SMI) ialah antara kira-kira 50,000 orang calon STPM 2012 menerima baucar buku 1Malaysia yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM10 juta. Amaun yang sama turut dinikmati oleh pelajar matrikulasi, politeknik dan universiti. Bagi memastikan baucar itu dimanfaatkan sebelum 30 Mac ini, pelajar dikehendaki mencatat nama dan nombor kad pengenalan pada baucar berkenaan.

Pelajar harus menebus baucar berkenaan sebelum tarikh luput. Mereka juga diingatkan supaya baucar itu bebas daripada sebarang contengan atau rosak bagi mengelakkan ia ditolak oleh kedai buku yang disenaraikan oleh pihak kementerian pelajaran. Selamat membeli buku...

Saturday, January 14, 2012

RUMAH LA SALLE UNGGULI LARIAN (SUCCESSFUL CENTENNIAL RUN)

Ipoh, Sabtu; 14.1.12 / 20 safar 1433

Cikgu Saiful Bahri, ketua guru rumah La Salle tersenyum puas kerana anak buah beliau memulakan langkah bergaya dengan memungut mata tertinggi sebagai bekalan hari sukan apabila muncul sebagai johan keseluruhan acara Larian Seabad (baca: se-abad, bukan sea bad) SMK St Michael, Ipoh (SMI) pagi tadi. Acara bertambah meriah apabila sebilangan peserta veteran bekas pelajar seperti Cikgu Timothy Chee, pengarah drama sekolah yang mencecah usia 70-an turut mengambil bahagian. Semua peserta berjaya tiba ke garisan penamat tanpa sebarang insiden luar jangkaan.
Upacara penyampaian pingat kepada semua pemenang telah disempurnakan oleh Bro. Vincent Cockery, selaku brother director dan bekas pengarah SMI. Bersama beliau di atas pentas ialah Puan Loh Wei Seng, pengetua SMI. Larian yang mengisi program wajib sekolah dalam kategori merentas desa itu menandakan sambutan ulang tahun penubuhan ke-100 SMI makin rancak...

Wednesday, January 11, 2012

PROGRAM SUKAN SMI BERMULA (YOUNG LEADERS OF SPORTS)

Ipoh, Selasa: 11/1/12 = 17 Safar 1433

Jumlah hari persekolahan sebanyak 192 - 200 hari setahun sebenarnya bukanlah panjang sangat. Banyak pengisian aktiviti kurikulum, kokurikulum, pertandingan, sukan dan sebagainya perlu diselesaikan. Perancangan yang rapi dilakukan supaya tiada kegiatan yang tergendala atau tertunda.
SMK St. Michael, Ipoh (SMI) memulakan kegiatan sukan dengan proses pemilihan jawatankuasa empat buah rumah sukan yang terdiri daripada Augustus, La Salle, Patrick dan U Paul. Keutamaan kepimpinan tertinggi diberi kepada pelajar prauniversiti tingkatan 6 Atas, sambil dibantu oleh wakil tingkatan yang lain. Pemilihan dilaksanakan menerusi undian angkat tangan.

Proses pemilihan selesai dalam tempoh kurang daripada 30 minit. Acara pertama yang membabitkan saingan rumah sukan ialah Larian Se-abad SMI (Centenary Run) yang bakal berlangsung pada pagi Sabtu ini (14/1) mulai pukul 7.30 pagi. Kemudian, dari masa ke masa akan ada pertandingan permainan, sukan tara dan acara akhir prasukan dan kejohanan olahraga tahunan. Kecergasan jasmani menerusi kecemerlangan sukan sudah pasti mempengaruhi kecerdasan inteleks, emosi dan sosial pelajar SMI...

Sunday, January 8, 2012

HADIAH AWAL SAMBUTAN 100 TAHUN SMI (THE CONTINUITY OF EXCELLENCE MICHAELIANS)

Perayaan ulang tahun penubuhan SMK St. Michael, Ipoh (SMI) bermula dengan berita gembira. Kohort tingkatan 3 tahun 2011 telah mencatat keputusan PMR yang dapat dibanggakan. Moga momentum kecemerlangan itu akan berterusan.
59 orang calon cemerlang PMR (semua A) bersama pengetua
 dan penolong kanan SMI
klik foto untuk paparan penuh


Cabaran yang dihadapi bagi melonjakkan pencapaian akademik di SMI bukan sekadar meningkatkan peratus  lulus dalam peperiksaan awam, atau mengecilkan nilai gred purata sekolah (GPS), tetapi bagi memastikan bahawa prinsip pendemokrasian pendidikan, iaitu pendidikan bermutu untuk semua murid, sentiasa terlaksana. Tiada murid akan disisihkan atas faktor latar belakang atau kedudukan sosioekonomi mereka. Murid dalam kategori kurang beruntung akan terus menikmati pengalaman pembelajaran yang terbaik.

Slogan (cater for) the last, the least, the lost menjadi bukti betapa SMI begitu serius bagi menentukan aksesibiliti dan ekuiti dalam pendidikan dinikmati oleh semua murid, tanpa kecuali. Program kecemerlangan kurikulum, kokurikulum, disiplin dan sahsiah secara teragih ialah usaha yang berterusan dalam proses menjana modal insan minda kelas pertama di SMI. Sejarah kejayaan 100 tahun penubuhan SMI diharapkan menjadi inspirasi kepada warga SMI semasa untuk terus melonjak di persada kecemerlangan...

Tuesday, January 3, 2012

SMI MULA 2012 DENGAN LANGKAH KANAN (BRAVO 100 YEARS MICHAELIANS)

Ipoh, Khamis: 29.12.11 / 4 Safar 1433

Pencapaian PMR 2011 yang memberangsangkan dianggap sebagai hadiah awal untuk sambutan ulang tahun ke-100 SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Peratus lulus telah meningkat kepada 90.77 peratus berbanding dengan 90.12 peratus pada tahun sebelumnya. Sejumlah 59 orang calon juga memperoleh semua A, iaitu bertambah 7 orang.

SMI masih kekal dalam kelompok 10 buah sekolah terbaik daerah Kinta Utara di belakang SMJK Sam Tet. Sudah tentu antara hadiah perayaan 100 tahun kelak ialah muncul sebagai sekolah lelaki terbaik Kinta Utara. SMI memiliki segala sumber yang diperlukan ke arah itu.
Demikian antara taklimat pengetua, Puan Loh Wei Seng dalam mesyuarat guru selama dua hari berturut-turut (29 dan 30 Disember). Komponen mesyuarat induk merangkumi pengurusan am dan takwim tahunan, kurikulum dan kewangan, hal ehwal murid dan kokurikulum. Penjelasan tentang dasar Memperkasa Bahasa Melayu dan Memantapkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebagai ganti pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) juga dibuat secara terperinci.

SMI kehilangan 3 orang guru lama, termasuk guru media, Puan Oo, dan Puan Tan Say Lee kerana terbabit dalam pertukaran setara (redeployment). Selain itu, permohonan Puan Harlina Mat Jani (Bahasa Melayu) ke Putraya dan Puan Hanishah (Sains) juga telah diluluskan. Namun, SMI menerima 9 orang guru baharu, termasuk 4 orang guru Bahasa Melayu. 

Usai mesyuarat, guru-guru dibekalkan dengan dokumen tugas rasmi, termasuk buku rekod mengajar dan daftar kehadiran murid. Proses pembelajaran perlu dimulakan sejak hari pertama persekolahan, iaitu pada 4 Januari 2012 (Rabu) tanpa gagal. Pemantauan dalaman dan mungkin juga oleh pihak pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri akan dilakukan...

Sunday, January 1, 2012

GURU SMI TANDATANGAN OPSYEN SBPA (NEW DEAL FOR TEACHERS)

Ipoh, Selasa: 20.12.11 / 24 Muharram 1433

Komitmen guru SMK St. Michael, Ipoh (SMI) terhadap bidang pendidikan begitu kuat apabila sebahagian besar daripada mereka memilih opsyen umur persaraan 60 tahun. "Saya sanggup jadi guru sampai bertongkat", kata seorang guru wanita yang enggan disebutkan namanya. Untuk opsyen sistem saraan baru perkhidmatan awam (SBPA), semua guru SMI sepakat menurunkan tandatangan, iaitu berubah daripada sistem terdahulu, iaitu sistem saraan Malaysia (SSM).
Taklimat tentang falsafah, konsep dan pelaksanaan SBPA berlangsung di dewan besar SMI. Penolong Kanan, En. Mohd. Zahir bin Ramli telah menyampaikan taklimat berkenaan secara solo hampir dua jam bermula pada pukul 9.30 pagi. Walaupun kebanyakan guru telah membaca pekeliling SBPA menerusi internet, mereka masih sudi mendengar taklimat hingga selesai.

Memandangkan borang opsyen yang ditunggu tidak kunjung tiba seperti yang dijadualkan, maka majlis bersurai menjelang tengah hari. Akhirnya, pada pukul 4.30 petang, baharulah En. Pritam Singh, ketua pembantu tadbir SMI berjaya membawa pulang berkas borang ke pejabat. sebahagian guru yang mempunyai urusan mesyuarat dan majlis persendirian keesokannya bergegas semula ke sekolah.
Dengan memilih SBPA, guru akan menikmati satu kenaikan gaji di bawah SSM, serta tangga gaji dipindahkan ke amaun yang paling hampir di bawah matriks sebaris SBPA. Ringkasnya, seseorang guru bakal menerima perubahan gaji antara RM200 ke RM300, tidak termasuk kenaikan gaji tahunan SBPA. Dari segi ekonomi, kenaikan gaji seharusnya paling tidak menyamai kadar inflasi supaya pendapatan benar pekerja tidak merosot.

Notis panggilan taklimat dan tandatangan opsyen SBPA dan opsyen persaraan paksa kali ini agak mendadak. Sebahagian guru masih perlu menghadiri mesyuarat rasmi, manakala sebahagian lagi berada di kampung halaman, atau sedang melancong di luar negara. Namun, kehadiran guru dalam majlis taklimat SBPA membuktikan bahawa mereka sentiasa akur akan keperluan perkhidmatan tanpa mengira waktu...


Monday, November 14, 2011

BUDAK SPM MULA "DEMAM" (MICHAELIANS CREATE THIER DREAM)

Ipoh, Isnin: 14.11.11 / 18 Zulhijjah 1432

Detik 8.00 pagi menandakan perjuangan sejumlah 339 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK St. Michael, Ipoh (SMI) merupakan antara 468,808 calon SPM seluruh negara. Seawal 7.10 pagi mereka sudah berhimpun di gelanggang badminton bersebelahan dewan sekolah yang menjadi lokasi peperiksaan, di samping blok tingkatan 6 Atas pada aras 4. Bermacam-macam gelagat dapat dilihat.
Kertas pertama yang dihadapi ialah Bahasa Melayu 1, diikuti oleh Bahasa Melayu 2 pada pukul 2.00 petang. Calon yang ditemui sejurus usai kertas 1 meluahkan rasa lega justeru tugasan soalan yang diuji ialah tajuk-tajuk yang biasa dibincangkan dalam pembelajaran. Ramalan tentang tajuk ciri-ciri pelajar cemerlang jelas meleset.

Mereka akan hanya menyelesaikan semua kertas peperiksaan pada minggu pertama atau kedua Disember, bergantung kepada pakej mata pelajaran yang diduduki. Di SMI terdapat 5 kelas jurusan sains tulen, dan 3 kelas jurusan vokasional dan teknologi (VT). Moga mereka mencapai kejayaan yang diharap-harapkan...

Thursday, November 3, 2011

HARI KOKURIKULUM SMI: SENI BELA DIRI DAPAT PERHATIAN (COUNTERMEASURE OF PHYSICAL THREAT IN EDUCATION)

Ipoh, Khamis: 3/11/11 = 7 Zulhijjah 1432

Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum menutup tirai kegiatan wajib di SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Pelajar yang memiliki tahap pencapaian minimum di peringkat daerah diberi pengiktirafan rasmi, serta diraikan sebagai penerima anugerah yang selayaknya. Sijil kehadiran penuh juga disampaikan kepada lebih kurang 5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar SMI yang mencecah angka 2,000 orang semuanya.

Bagi penerima anugerah, majlis yang dihadiri ialah catatan sejarah peribadi yang penting. Sebaliknya, kepada hadirin dan tetamu, mereka tampak lebih tertarik kepada acara sampingan dan selingan yang disajikan. Antara acara yang mendapat perhatian ialah persembahan unit pakaian seragam dan muzikal.
Demonstrasi seni bela diri dilangsungkan di gelanggang badminton, iaitu kawasan sebelah luar dewan dan kafetaria SMI.  Antara pasukan yang mengambil bahagian ialah silat seni gayung, taekwando dan wushu. Di samping persembahan gerakan asas dan kunci mati, pertarungan olok-olok turut ditunjukkan.
Suatu ketika dahulu, pernah ada saranan agar kegiatan seni bela diri diwajibkan kepada semua pelajar sekolah. Justifikasi tentang hal itu berkaitan ancaman jenayah yang makin berleluasa, terutama terhadap pelajar perempuan. Namun, idea berkenaan sudah tenggelam kerana masih banyak idea yang berbaris menunggu giliran dalam dunia pendidikan kita...